5 Cara Semak Nombor Telefon Scammer Online Tanpa Caj

Cara Semak Nombor Telefon Scammer

Sekarang ini, kes penipuan melalui panggilan telefon semakin meningkat di negara kita. Penipu kini bijak menyamar sebagai wakil bank, pegawai kerajaan, syarikat kurier dan pelbagai agensi lain untuk memperdaya orang ramai. Ramai pengguna kehilangan ribuan ringgit kerana terlalu percaya kepada panggilan yang nampak “meyakinkan”.

Sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa berurusan melalui telefon dan dalam talian, penting untuk kita tahu bagaimana cara menyemak nombor telefon mencurigakan. Ramai yang tidak tahu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyediakan satu sistem rasmi untuk membantu orang awam menyemak sama ada sesuatu nombor pernah dilaporkan sebagai scammer atau tidak.

Saya ingin kongsikan panduan ini supaya anda dapat mengenal pasti nombor penipu lebih awal dan elak jadi mangsa. Penipuan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi dengan sedikit langkah berjaga-jaga, anda mampu melindungi diri dan keluarga daripada menjadi mangsa seterusnya.

Cara Semak Nombor Telefon Scammer

Semak Nombor Telefon Scammer Melalui Portal Rasmi PDRM

Salah satu cara untuk semak nombor telefon scammer ialah dengan menggunakan portal rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) atau Commercial Crime Investigation Department (CCID) di bawah PDRM. Portal ini dikenali sebagai Semak Mule CCID.

Portal ini diwujudkan khas untuk membolehkan orang awam menyemak sama ada sesuatu nombor telefon atau nombor akaun bank pernah dilaporkan terlibat dalam aktiviti penipuan. Langkahnya juga sangat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

  1. Layari laman rasmi CCID melalui pautan ini: https://semakmule.rmp.gov.my
  2. Pilih kategori Nombor Telefon pada halaman utama portal.
  3. Masukkan nombor telefon yang ingin disemak.
  4. Isi kod Captcha seperti yang dipaparkan untuk pengesahan.
  5. Klik butang “Semak Maklumat”.

Selepas itu, sistem akan memaparkan hasil carian sama ada nombor berkenaan pernah dilaporkan sebagai scammer atau tidak. Jika nombor tersebut pernah digunakan untuk penipuan, paparan akan menunjukkan laporan berkaitan.

Semak Nombor Telefon Scammer Online

Portal ini dikemas kini dari semasa ke semasa berdasarkan laporan yang diterima daripada orang awam. Jadi, hasil semakan boleh dijadikan panduan penting sebelum anda menjawab panggilan atau membuat sebarang transaksi.

Aplikasi Lain Untuk Kenal Pasti Nombor Telefon Scammer

Selain sistem rasmi oleh PDRM, anda juga boleh menggunakan aplikasi tambahan yang banyak tersedia di pasaran. Aplikasi-aplikasi ini mempunyai pangkalan data global dan boleh membantu mengenal pasti nombor yang digunakan oleh scammer dari dalam atau luar negara.

1. Whoscall

Whoscall dibangunkan oleh syarikat Gogolook dan terkenal kerana kebolehannya mengenal pasti nombor tidak dikenali. Apabila anda menerima panggilan daripada nombor asing, aplikasi ini akan memaparkan maklumat seperti nama, lokasi dan sama ada nombor tersebut pernah dilaporkan sebagai penipu.

Selain itu, Whoscall membolehkan anda menyekat nombor tertentu dan menetapkan kata kunci untuk menapis panggilan yang mencurigakan. Kelebihan utama aplikasi ini ialah ia boleh berfungsi secara offline, jadi tetap boleh digunakan walaupun tiada sambungan internet.

2. Showcaller

Aplikasi Showcaller juga berfungsi hampir sama seperti Whoscall. Ia membolehkan anda mengenal pasti nombor tidak dikenali dan mengetahui lokasi pemanggil. Antara ciri menariknya ialah keupayaan menyekat panggilan penipu serta membaca komen pengguna lain yang pernah berurusan dengan nombor tersebut.

Showcaller membantu anda membuat keputusan sama ada panggilan itu perlu dijawab atau diabaikan. Ini sangat berguna, terutamanya jika anda kerap menerima panggilan daripada nombor luar kawasan atau tidak dikenali.

3. Getcontact

Getcontact ialah aplikasi yang semakin popular dalam kalangan pengguna Malaysia. Ia bukan sahaja membantu mengenal pasti pemanggil, malah mempunyai ciri keselamatan seperti perlindungan spam, penyekatan automatik, dan pengenalan pemanggil.

Untuk menggunakan aplikasi ini:

  1. Pasang Getcontact di telefon anda.
  2. Buka aplikasi dan taip nombor telefon yang ingin anda semak di ruangan carian.
  3. Aplikasi akan memaparkan nama, label dan maklumat lain yang dikongsi oleh pengguna lain.

Jika nombor tersebut pernah digunakan untuk aktiviti penipuan, anda akan melihat tanda amaran atau ulasan negatif daripada pengguna lain. Untuk semakan biasa, versi percuma aplikasi ini sudah memadai.

4. Google Maps

Satu lagi cara yang boleh dicuba untuk mengesan nombor telefon scammer ialah dengan menggunakan Google Maps. Walaupun kaedah ini bergantung pada keizinan individu tersebut, ia tetap berguna dalam sesetengah situasi.

  1. Buka aplikasi Google Maps di telefon.
  2. Pergi ke bahagian Senarai Rakan (Friends List).
  3. Tekan Tambah Rakan (Add Friend) dan masukkan nombor telefon individu yang disyaki.
  4. Jika individu itu menerima jemputan atau berkongsi lokasi mereka, anda boleh melihat kedudukan mereka di peta secara langsung.

Walaupun cara ini tidak selalu berkesan, ia boleh dicuba jika nombor tersebut aktif menggunakan akaun Google.

Apa Perlu Dibuat Jika Sudah Jadi Mangsa Scammer

Sekiranya anda telah menjadi mangsa penipuan, tindakan pantas amat penting bagi memastikan peluang mendapatkan semula wang anda tidak terlepas. Segera buat laporan polis di balai berhampiran dan hubungi CCID Scam Response Center untuk bantuan lanjut.

Anda juga boleh rujuk panduan penuh di artikel berikut untuk mengetahui langkah-langkah lanjut cara dapatkan balik duit dari scammer

Simpan semua bukti seperti mesej, resit transaksi dan rakaman panggilan. Dokumen-dokumen ini amat penting semasa proses siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Senarai Nombor Telefon Scammer

Berikut antara nombor telefon yang telah menerima banyak laporan daripada mangsa di seluruh negara:

Bil Nombor Telefon Laporan Polis
01 01161051865 9
02 0163411403 9
03 0142897177 9
04 0142472412 9
05 01125054956 9
06 0142447614 8
07 28042221522 8
08 0104269914 21
09 0179764986 17
10 01123520121 15

Nombor-nombor ini sering digunakan oleh sindiket penipuan dan dilaporkan oleh orang awam kepada pihak polis. Jika anda menerima panggilan daripada mana-mana nombor seperti ini, jangan terus percaya. Buat semakan segera menggunakan portal Semak Mule CCID atau aplikasi yang telah disebutkan tadi.

Ingat keselamatan dalam talian adalah tanggungjawab bersama. Semak dulu, baru percaya. Jika sudah terkena, jangan diam buat laporan dan cuba dapatkan semula duit daripada scammer melalui saluran yang betul. Dengan kesedaran dan tindakan segera, kita dapat bersama-sama membanteras jenayah penipuan dalam talian di Malaysia.

Caleb Lee

Senior Content Writer

Caleb Lee merupakan seorang penulis kewangan berpengalaman yang aktif berkongsi panduan praktikal mengenai pengurusan duit, pelaburan asas, serta strategi menjana pendapatan tambahan.